suria

Curi Motosikal: Pelajar Sekolah Antara Yang Ditahan

SHAH ALAM: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang yang kesnya masih di peringkat mahkamah, kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal.

Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob berkata lelaki yang dikenali sebagai "Anje", 20, dipercayai dalang kepada kegiatan itu, telah ditangkap atas kesalahan sama pada Mac lepas dan kesnya sedang dibicara.

Anje ditahan susulan penangkapan dua remaja termasuk seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman TTDI Jaya pada 18 Jun lepas, katanya pada sidang media, di sini, Rabu.

Katanya ketika serbuan, pelajar terbabit dan rakan subahat berusia 18 tahun itu sedang meleraikan sebuah motosikal yang dipercayai dicuri.

Ahmad Zahedi berkata siasatan lanjut polis membawa kepada penemuan 25 rangka motosikal di kawasan semak berhampiran sebuah tasik di Puncak Perdana di sini.

Kumpulan ini aktif sejak 2010 dan dipercayai terbabit dalam 26 kes curi motosikal di Shah Alam, Klang, Petaling Jaya, Gombak, Ampang dan Dang Wangi, katanya.

Beliau berkata polis sedang menjejaki seorang lagi suspek berusia 17 tahun yang dikenali sebagai "Acap". -BERNAMA

Artikel Lain