suria

Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Palsukan Surat Cagaran

KUALA LUMPUR: Dua lelaki masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan memalsukan surat cagaran berharga dan menggunakannya sebagai tulen bagi tujuan memindah hak milik tanah kepada syarikat lain.

Mohammad Irwan Adnan, 36, didakwa memalsukan surat cagaran berharga berupa 'Dokumen Hak Milik Tanah No:22052 bagi tanah Lot 328, Seksyen 92, Bandar Kuala Lumpur' dengan memasukkan nama syarikat Fanaz Sdn Bhd sebagai tuan punya lot tanah itu sedangkan ia bukan milik syarikat tersebut.

Mohammad Irwan, penolong pengarah di Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Tingkat 0-4, Rumah Persekutuan, Jalan Sultan Hishamuddin, antara 8 pagi dan 6.30 petang, 21 Jun 2007.

Diwakili peguam Shamsul Sulaiman, Mohammad Irwan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh, S.Ganesan, 36, didakwa dengan curang menggunakan surat cagaran itu sebagai tulen bagi tujuan memindah hak milik tanah tersebut kepada syarikat Indah Kitar Semula Sdn Bhd, yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Ganesan, pengarah di sebuah syarikat, didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Julai 2007 dan 12 Mei 2007 dan 12 Mei 2008, di tempat yang sama. Dia diwakili peguam Datuk S.Kumaraendran.

Sementara itu, pengarah syarikat Indah Kitar Semula, K.Barthan, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Ganesan menggunakan surat cagaran itu sebagai tulen bagi tujuan memindah hak milik tanah tersebut kepada syarikat Indah Kitar semula.

Bagi kesalahan itu, Ganesan dan Barthan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bathan, 49, diwakili peguam S.Devanandan. Pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwa Raya C.Viknesh Kumar dan M.Puveneswaran menawarkan ikat jamin RM20,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin masing-masing RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain