suria

Mahkamah Dengar Permohonan Injunksi Oleh Lynas, 19 Julai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menangguhkan ke 19 Julai bagi pendengaran permohonan injunksi inter-parte (antara pihak) oleh Lynas Corporation Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk menghalang "Save Malaysia, Stop Lynas' (SMSL), sebuah kumpulan anti-Lynas dan dua pengarahnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah mengenai Lynas.

Peguam yang mewakili SMSL, Datuk Bastian Pius Vendargon memberitahu pemberita, Lynas telah menyerahkan afidavitnya berkaitan dengan pendengaran injunksi itu kepada semua defendan, Isnin.

Beliau berkata defendan memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan dan mahkamah menetapkan 19 Julai untuk mendengar injunksi inter-parte itu.

Katanya kedua-dua pihak telah menyerahkan hujahan bertulis berhubung injunksi itu kepada mahkamah.

Pada 19 April, Lynas Corporation of Sydney, Australia, dan Lynas Malaysia memfailkan saman terhadap SMSL Sdn Bhd dan dua pengarahnya Tan Bun Teet dan Lim Sow Teow, berhubung artikel memfitnah yang diterbitkan dalam laman blognya pada 22 Mac.

Dalam saman itu, Lynas juga memohon defendan mengeluarkan artikel itu daripada laman blognya sehingga kes saman itu selesai. - BERNAMA

Artikel Lain