suria

Jerebu Di Lembah Klang Dijangka Lebih Buruk

PETALING JAYA: Jerebu kembali melanda Semenanjung Malaysia dengan empat kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di Lembah Klang dan bakal menjadi lebih buruk.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, jerebu disebabkan beberapa 'kawasan panas' yang terletak di tengah pulau Sumatra, Indonesia.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa Indonesia, kedua-duanya menjangkakan keadaan bertambah buruk dengan musim panas dan kering di daerah Riau Sumatra yang mana keadaan ini akan sampai ke kemuncaknya dalam tempoh dua minggu akan datang.

Kualiti udara di Lembah Klang merosot secara progresif pada Jumaat dengan empat kawasan mencatatkan bacaan IPU yang tidak sihat sehingga pukul 5 petang.

Lokasi ini ialah Pelabuhan Klang (147), Kuala Selangor (129), Shah Alam (120) dan Cheras (105).

Kebanyakan daripada 51 kawasan yang dipantau oleh JAS juga menunjukkan peningkatan, dengan beberapa tempat di lembah Klang dan Kinta menghampiri pinggir bacaan IPU tidak sihat, lebih dari 100.

JAS mengklasifikasikan bacaan IPU antara 0 dan 50 sebagai Baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan lebih dari 301 sebagai berbahaya.

"Dengan cuaca yang agak kering di beberapa bahagian utara dan pantai timur negeri-negeri di Semenanjung, jerebu dijangka akan berterusan dalam tempoh beberapa hari akan datang," kata JAS dalam satu kenyataan.

Akhbar harian Indonesia The Jakarta Post, baru-baru ini melaporkan kebakaran hutan dan tanah gambut di daerah ini telah menyebabkan jerebu dan dijangka lebih banyak kebakaran akan berlaku.

Laporan imej satelit yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) menunjukkan peningkatan kawasan panas di Sumatera daripada 67 pada Selasa kepada 122 pada Rabu.

Pusat ini juga melaporkan penurunan dalam bilangan kawasan panas di daerah Riau kerana awan melindungi satelit tetapi menyatakan bahawa angin barat telah meniup jerebu ke arah Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, JAS telah mengaktifkan pelan tindakan untuk mengawal pembakaran terbuka serta meningkatkan penguatkuasaan ke atas pengeluaran asap kenderaan dan kilang.

Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran, Jabatan Meteorologi juga melaporkan bahawa hampir seluruh negara berisiko tinggi mengalami kebakaran akibat cuaca panas dan kering.

Carta FFMC di laman web jabatan memberi nilai potensi kebakaran di kebanyakan bahagian negara ini sebagai "melampau".

Kod, yang merupakan penarafan berangka bagi kandungan lembapan sampah sarap dan bahan api lain (rumput, semak, daun kering), digunakan sebagai penunjuk potensi bermulanya kebakaran dan tersebar di sesuatu kawasan.

Ia dipengaruhi oleh suhu, kelembapan relatif, hujan dan kelajuan angin.

Di Selangor, satu kes kebakaran dicatatkan semalam di Pulau Kempas, Kuala Langat, di mana bomba berjaya meletakkannya di bawah kawalan.

Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata rakyat perlu minum lebih banyak air manakala pesakit yang berisiko tinggi dengan masalah pernafasan perlu mendapatkan rawatan awal jika gejala semakin membimbangkan.

Beliau juga menggesa orang ramai untuk melawat laman web Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.my bagi mendapatkan nasihat kesihatan untuk menghadapi jerebu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain