suria

KPDNKK P.Pinang Rampas Produk Kosmetik Tiruan

GEORGE TOWN: Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas sejenis produk kosmetik memutihkan kulit tiruan dan menahan dua orang jurujual Khamis lepas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri, Guna Selan Marian berkata cecair pemutih tiruan berjenama Kojic Acid itu dijual dengan harga RM400 dan RM700 sekotak.

"Kita merampas 16 kotak yang dianggarkan bernilai RM10,000 setelah menerima aduan daripada wakil syarikat Kyowa Hakko Kirin Co Ltd yang beribu pejabat di Jepun bahawa mereka tidak pernah mengeluarkan produk berkenaan dan kesal kerana terdapat pihak yang menggunakan cap dagangan syarikat mereka," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Pasangan jurujual lelaki dan wanita berusia 30-an itu ditahan di sebuah restoran di Persiaran Gurney ketika menjalankan urus niaga dengan pelanggan dalam premis berkenaan dan hasil siasatan awal mendapati mereka menjalankan aktiviti jualan produk palsu itu sejak enam bulan lepas.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket terbabit berpangkalan di luar Pulau Pinang dan mereka turut mempromosi produk melalui internet dan menjualnya secara dalam talian," katanya. Guna Selan berkata pelanggan diperdaya kononnya kosmetik itu dapat mencerahkan kulit dengan hanya menyuntik cecair pemutih ke dalam badan.

Beliau berkata kandungan cecair pemutih itu telah dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisis.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 8(B) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 dan atau penjara tiga tahun atau kedua-keduanya sekali jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain