suria

Imigresen Kelantan Tahan 15 rakyat Myanmar, Rampas Dokumen Perjalanan Palsu

KOTA BAHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan 15 rakyat Myanmar dan merampas beberapa peralatan percetakan dipercayai digunakan dalam pemalsuan dokumen perjalanan dan wang palsu di sebuah premis perniagaan di sini, Selasa.

Pengarahnya Mahasan Mustopa berkata mereka yang berusia antara sembilan dan 30 tahun itu ditahan bersama sebuah komputer riba, komputer meja, mesin pengimbas dan pencetak yang dipercayai digunakan dalam pemalsuan itu.

"Turut dirampas wang tunai Malaysia RM9,084, wang palsu Myanmar kira-kira 2,000 Myanmar di samping wang palsu Bangladesh," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, Selasa.

Serbuan ke atas premis tersebut melibatkan anggota penguat kuasa daripada Jabatan Imigresen Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Baharu dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Premis itu dipercayai dijadikan pusat aktiviti harian rakyat Myanmar yang tinggal di Kelantan untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan dan minuman keras yang dijual secara haram di premis itu.

"Kita turut rampas berpuluh-puluh tin minuman keras, berkotak-kotak ubat-ubatan dari negara itu dan makanan dalam tin yang telah dibungkus dipercayai diseludup ke negara ini," kata Mahasan.

Beliau berkata rakyat Myanmar yang ditahan itu akan dihantar ke Depo Tahanan Imigresen Tanah Merah bagi siasatan lanjut sebelum tindakan mahkamah.

Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain