suria

Wanita Maut, Suami Parah Dalam Kemalangan Di Lebuh Raya Utara-Selatan

IPOH: Seorang wanita maut, suaminya parah manakala tiga anak mereka cedera selepas kereta yang dinaiki merempuh belakang lori di Km 256 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar, pada Rabu.

Ketua Polis Trafik negeri DSP Mohamad Roy Suhaimi berkata Rohana Ahmad, 45, maut di tempat kejadian dalam kemalangan pukul 9.40 pagi itu.

Suaminya Amiruddin Basaruddin, 45, mengalami cedera parah di kepala dan anak mereka Mohamad Aiman Hakimi, 13, Noralina Anum, 19 serta Saiful Khairul, 21 cedera, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata Amiruddin, Mohamad Aiman dan Noralina dirawat di Hospital Raja Bainun, sementara Saiful pula menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Kangsar.

Katanya keluarga tersebut yang berasal dari Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang dalam perjalanan ke selatan apabila kereta dipandu Amiruddin terbabas sebelum merempuh belakang lori terbabit.

Sementara itu, dalam satu kemalangan tengah malam tadi, dua lelaki terbunuh selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ipoh-Menglembu dekat sini.

Mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta Jerad Anthony, 22 dan rakannya Ganeson a/l Kumar, 25.

Jerad maut di tempat kejadian manakala Ganeson pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Kejadian berlaku pada pukul 12.40 tengah malam tadi apabila kereta yang dipandu Jerad bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan, kata Mohamad Roy. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain