suria

Raja Permaisuri Agong Diperkenalkan Kepada Ahli & Aktiviti Badan Amal Bakti

PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis Tautan Kasih bersama Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di sini pada Rabu.

Ketibaan Raja Permaisuri Agong ke majlis itu disambut oleh isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua Bakti, isteri timbalan perdana menteri yang juga Naib Yang Dipertua Bakti Puan Sri Norainee Abd Rahman, Ahli Kehormat Bakti Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta ahli Jawatankuasa Tadbir Bakti.

Rosmah kemudian memperkenalkan ahli-ahli Bakti kepada Raja Permaisuri Agong.

Dalam ucapannya, Rosmah turut menerangkan tujuan, peranan, aktiviti, program dan sumbangan Bakti sejak ditubuhkan pada 1977.

"Bakti sebenarnya secara langsung dan tidak langsung memegang tanggungjawab yang sangat besar dengan menjadi wajah serta cerminan terbaik kepada usaha-usaha murni para suami sebagai pemimpin-pemimpin negara.

"Ini adalah kerana usaha-usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh Bakti adalah demi membantu rakyat dari belenggu kemiskinan, meredakan jeritan rakyat dari kesakitan, mengurangkan kejahilan dengan ilmu, meringankan kepahitan dan kecacatan dan memupuk semangat kepada yang berpotensi," katanya.

Katanya pelbagai program melibatkan sosio-ekonomi dijalankan sepanjang tiga tahun beliau menerajui badan amal itu antaranya program "Selangkah ke Universiti" dan program "Dermasiswa Bakti" yang mendorong pelajar termasuk yang tidak berkemampuan meneruskan pengajian ke peringkat tinggi serta projek khas "Semai Bakti" membantu membangunkan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam Pusat Dalam Komuniti.

Menurutnya, Bakti juga menganjurkan Majls Makan Malam Amal Bakti setiap dua tahun untuk menumpul dana dari sektor korporat dan orang perseorangan yang prihatin.

"Alhamdulillah, pada tahun 2010 yang lalu Bakti telah berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM25.4juta dan ini merupakan satu rekod dan pencapaian terbesar bagi Bakti.

"Dalam hal ini Bakti akan memastikan sumbangan tersebut akan diuruskan dengan sebaik mungkin dan dihulurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya," katanya.

Rosmah berkata Bakti juga prihatin dan menghulurkan bantuan kepada rakyat luar negara apabila berlakunya malapetaka atau bencana.

"Bakti telah menubuhkan Misi Kemanusian Somalia dan telah menderma sebanyak RM1.2 juta. Dalam pada itu, Bakti terus mengorak langkah dengan menghulur tangan, meringankan beban dengan menderma USD100,000 kepada mangsa banjir di Thailand, Kemboja dan mangsa gempa bumi di Turki serta RM100,000 kepada mangsa gempa bumi dan Tsunami Jepun pada tahun lalu," katanya.

Selain itu, katanya sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang bertugas di luar negara, Bakti menyediakan bingkisan Hari Raya sejak 23 tahun lalu serta meraikan perayaan kaum-kaum lain di negara ini dengan menganjurkan pelbagai program kebajikan.

Katanya Bakti turut menganjurkan sukan tahunan khas untuk ahli-ahlinya yang dikenali sebagai 'Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia' bertujuan mewujudkan persefahaman, perpaduan dan semangat muhibah di kalangan mereka.

Bakti juga menganjurkan pelbagai seminar dan kursus untuk meningkatkan ilmu serta keterampilan diri ahli-ahlinya seperti kursus peningkatan ilmu, kursus penulisan kreatif dan kursus harta pusaka dan wasiat, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain