suria

Isu Padang PKNS: Lembaga Rayuan Selangor Adakan Pendengaran Bebas

SHAH ALAM: Lembaga Rayuan Selangor akan menjalankan pendengaran bebas berhubung status padang kompleks sukan PKNS, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata proses pendengaran oleh badan bebas ini yang terdiri daripada seorang bekas hakim, arkitek dan perancang bandar dijangka bermula dalam masa seminggu.

Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat anggota exco kerajaan negeri pada Rabu.

Katanya, kerajaan negeri mahu isu itu ditangani secara telus dan kaedah terbaik adalah menerusi Lembaga Rayuan Selangor, satu badan bebas yang akan mendengar rayuan penduduk terhadap keputusan mana-mana pihak berkuasa tempatan yang menjejaskan kepentingan mereka.

Isu itu mencetus kekecohan di kalangan penduduk dan pihak lain yang berkepentingan baru-baru ini berikutan dua status bercanggah padang tersebut, iaitu pembangunan komersial bagi Majlis Perbandaran Petaling Jaya namun kawasan rekreasi untuk Pejabat Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor (STPCD).

"Lembaga Rayuan akan mengkaji pembentangan PKNS, MBPJ serta STPCD, dan mereka akan menggariskan semua proses supaya kita tahu apa yang terjadi, begitu juga dengan orang ramai, dan mereka akan memutuskan apa yang sepatutnya dilakukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain