suria

MAS Diminta Bayar RM5,592 Kerana Kehilangan Beg Penumpang

NEW DELHI: Sebuah badan dikenali sebagai Forum Pengguna Daerah New Delhi meminta Malaysia Airlines membayar ganti rugi Rs100,000 (RM5,592) kepada seorang penumpang wanita yang kehilangan bagasi ketika dalam perjalanan dari Delhi ke Langkawi pada 7 Mac 2008.

Akhbar The Hindu melaporkan panel forum pengguna itu meminta MAS membayar pampasan berkenaan kepada Farah Mehta dari Mumbai.

Mehta menggunakan penerbangan MAS ke Langkawi untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakannya dan apabila tiba di sana, dia gagal menemui begnya yang mengisi pakaian serta hadiah untuk majlis itu.

Beg berkenaan tidak ditemui walaupun setelah dia kembali ke India dan selepas membuat aduan kepada pejabat syarikat penerbangan itu, dia ditawarkan pampasan Rs 16,000 (RM895), berdasarkan berat bagasinya.

Mehta bagaimanapun, enggan menerima pampasan itu dan mengadu kepada forum berkenaan.

"Kejadian itu merosakkan seluruh kunjungannya dan dia mengalami gangguan teruk daripada segi emosi, fizikal, mental dan dilanda perasaan bimbang.

"Tawaran serendah itu (oleh syarikat penerbangan berkenaan) sebagai ganti rugi, hanya menambahkan lagi kelukaan hatinya," kata panel itu, yang dianggotai presiden forum berkenaan C.K. Chaturvedi serta S.R. Chaudhary dan Asha Kumar.

Sejajar dengan itu, forum berkenaan berpendapat bahawa Rs100,000 (RM5,592) merupakan bayaran pampasan yang wajar diberi kepada pengadu. - BERNAMA

Artikel Lain