suria

Malaysia Ada Cara Sendiri Selesai Masalah Politik - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Malaysia mempunyai kaedah tersendiri untuk mencari penyelesaian politik tanpa perlu terikut-ikut cara negara luar termasuk menggunakan kekerasan atau demonstrasi ganas, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Generasi kita generasi matang. Kita selesai politik cara kita sendiri bukan di luar tabii politik. Kita tidak akan ikut cara penyelesaian politik yang dilakukan negara luar," katanya.

Beliau berkata tindakan pembangkang meniru gaya negara luar yang melakukan demonstrasi bagi mengguling kerajaan atau menuntut sesuatu perkara secara ganas sehingga melanggar undang-undang adalah kerana terdesak.

Katanya, kaedah seperti demonstrasi ganas jelas menunjukkan pakatan pembangkang tidak langsung mengamalkan sistem demokrasi, dan terpulang kepada rakyat untuk menilai siapa yang patut mereka pilih sebagai pemimpin negara.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengunjungi litar Presint 2 bagi menyaksikan Latihan Bebas Drift yang diadakan sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Dr Mahathir dalam entri blog terbarunya mendakwa pakatan pembangkang akan melancarkan demonstrasi ganas jika tewas dalam pilihan raya akan datang supaya keputusan pilihan raya itu ditolak. - BERNAMA

Artikel Lain