suria

Pengusaha Premis Judi Ubah Taktik Selepas Diserbu Lima Kali

KUALA LUMPUR: Taktik pengusaha yang berselindung disebalik kedai makan bagi menjalankan aktiviti judi siber di Cheras terbongkar dalam operasi oleh pihak polis malam Selasa.

Taktik itu berjaya dikesan oleh anggota polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu polis pejabat Daerah Cheras apabila mereka sekali lagi menyerbu tiga premis di Taman Dahlia, Cheras, yang pernah diserbu sebanyak lima kali sebelum ini.

Ketua Operasi Inspektor Zaili Zakaria berkata dalam serbuan pukul 9 malam itu polis berjaya membongkar taktik terbaru pemilik premis yang menutup pintu di bahagian hadapan dan mempunyai pintu rahsia di belakang kedai.

"Mereka berselindung disebalik gerai makan dan menutup pintu utama kedai tetapi hasil risikan kita mendapati ada pintu rahsia di belakang kedai bagi memudahkan pelanggan masuk untuk berjudi," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Beliau berkata pasukan yang sama juga telah membuat serbuan ke atas dua lagi premis judi siber di Taman Miharja Cheras dua jam kemudian.

Zaili berkata seramai 26 pelanggan yang sedang asyik berjudi serta lima penjaga premis ditahan dalam serbuan tersebut.

Katanya dalam serbuan itu juga polis merampas 85 komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian siber dan wang tunai sejumlah RM1,950.

Beliau bekata kesemua yang ditahan masing-masing berumur 25 hingga 50 tahun dibawa ke Balai Polis Pudu untuk disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya serbuan selama empat jam itu yang berakhir pukul 1 pagi disertai oleh dua pegawai dan 10 anggota polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain