suria

Peneroka Digesa Tidak Jual Saham Felda Global

KUALA LUMPUR: Masyarakat peneroka digesa supaya tidak menjual saham pegangan mereka dalam Felda Global Ventures Holdings Bhd, apabila syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia akhir Jun ini.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata ini bertujuan memastikan peneroka terus mendapat jaminan dari segi pulangan dividen yang bakal menguntungkan mereka dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun Mohd Isa berkata Felda tidak mempunyai mekanisma untuk menghalang peneroka sekiranya mereka bercadang menjual saham pegangan masing-masing.

"Kita tiada mekanisma untuk menghalang peneroka supaya jangan jual saham, terpulang kepada mereka. Kalau tidak, ini akan merumitkan lagi. Bila kita menghalang mereka dari jual saham, pembangkang akan cuba putar belit fakta," katanya kepada pemberita selepas pelancaran produk makanan oleh Delima Oil Products Sdn Bhd, di sini Rabu.

Delima Oil Products, anak syarikat milik penuh Felda Palm Industries Sdn Bhd, ditubuhkan pada Oktober 2000.

Mohd Isa berkata demikian ketika ditanya sama ada Felda mempunyai mekanisma untuk menghalang peneroka daripada menjual saham-saham mereka pada masa hadapan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sebanyak RM1.689 bilion habuan untuk 112,635 peneroka Felda, yang akan dibayar dalam tiga fasa.

Najib dalam pengumummannya turut menasihatkan masyarakat peneroka supaya tidak menjual saham mereka supaya dapat menikmati dividen dalam jangka masa panjang. - BERNAMA

Artikel Lain