suria

Lelaki Ditembak Mati Dipercayai Angkara Hutang

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditembak mati di Subang Jaya dekat sini awal hari Isnin dalam insiden yang dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah hutang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata lelaki tempatan berumur 34 tahun itu ditembak kira-kira 4 pagi di tempat letak kereta berhadapan rumah kedai di Jalan Central, USJ 1 selepas keluar dari sebuah hotel.

"Pada ketika itu, mangsa berjalan ke keretanya sebelum suspek menghampiri dan terus melepaskan tembakan. Mangsa ditembak di kepala selain di bahagian badan, dan mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Yahaya berkata polis turut menemui sebutir peluru hidup dan dua kelongsong peluru di tempat kejadian.

"Pemeriksaan latar belakang mangsa mendapati dia merupakan anak seorang kontraktor binaan yang mengalami masalah kewangan kerana syarikatnya bankrap," katanya.

Yahaya berkata siasatan juga mendapati mangsa yang berasal dari Sabah dan tinggal di Semenanjung sejak enam tahun lepas, pernah membuat laporan polis sebelum ini kerana diugut selain keretanya dibakar.

"Motif kejadian mungkin disebabkan kewangan kerana mangsa pernah berhutang," kata Yahaya.

Menurutnya, lelaki itu sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain