suria

Tujuh Daripada Lapan Tuntutan Bersih Dimasukkan Dalam Syor PSC - Kamalanathan

KUALA LUMPUR: Tujuh daripada lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) telah dimasukkan dalam 22 syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihanraya yang dibentangkan di Parlimen awal bulan ini.

Anggota Jawatankuasa PSC, P.Kamalanathan berkata hanya satu daripada tuntutan Bersih iaitu mengenai tambahan hari pada tempoh berkempen tidak dimasukkan dalam syor itu kerana ia tidak sesuai untuk dilaksanakan di Sabah dan Sarawak yang terdapat banyak kawasan pedalaman.

"Jika tempoh berkempen dilanjutkan kepada minimum 21 hari seperti yang dituntut Bersih, ia akan banyak memberi kesan terutama kepada Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun cadangan itu masih dipertimbangkan di mana tempoh sekarang telah dipanjangkan daripada tujuh kepada 10 hari," katanya pada sesi santai "Teh Tarik Bersama YB" yang membincangkan isu berkenaan penambahbaikan sistem pilihanraya di sini malam Khamis.

Kamalanathan yang juga Anggota Parlimen Hulu Selangor menjelaskan syor-syor PSC jelas menunjukkan kerajaan sentiasa terbuka untuk mengadakan perubahan dan penambahbaikan dalam pelbagai aspek selari dengan suara dan kehendak rakyat.

"PSC sentiasa mengambil kira cadangan semua pihak termasuk pembangkang. Buktinya, walaupun laporan minoriti tidak dimasukkan dalam 22 syor tersebut kerana ia tidak pernah dibincangkan sepanjang enam bulan jawatankuasa ini bersidang, namun setiap cadangan yang diketengahkan akan kita pertimbangkan," katanya.

Justeru, Kamalanathan berkata Bersih sepatutnya memberi ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pembaharuan yang disyorkan itu dan bukannya terus mencari salah dan mengkritik suruhanjaya tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain