suria

Malaysia Antara Negara Di Dunia Yang Laksanakan Strategi Terbaik Kawal Inflasi

KOTA KINABALU: Malaysia merupakan antara negara di dunia yang melaksanakan strategi terbaik bagi membendung inflasi ke tahap yang tidak terlalu membebankan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kadar inflasi atau kenaikan harga di negara ini hanya sekitar tiga peratus berbanding di negara lain yang mengalami inflasi antara 10 dan 100 peratus.

"Kerajaan tidak pernah naikkan harga barang, yang naikkan itu peniaga, tapi soalnya fenomena kenaikan harga barang ini berlaku di seluruh dunia, saya menyebut ini bukan mencari sebab.

"Hakikatnya sudah meningkat sebab antara lain bilangan penduduk dunia sudah meningkat tujuh bilion. Tetapi peningkatan dari segi bekalan makanan di dunia tak secepat peningkatan manusia di dunia yang memerlukan makanan dan minuman. Jadi dari segi teori ekonomi kalau permintaan meningkat dan bekalan tak bertambah, harga pasti naik," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama warga pesara guru di Grand Ballroom 1Borneo, Likas, dekat sini, Jumaat.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa mencari cara terbaik untuk mengawalnya dan pada masa sama melindungi kepentingan pengguna.

Beliau berkata ini terbukti apabila kerajaan memberi subsidi untuk barangan keperluan termasuk gula dan bahan api (minyak diesel dan petrol).

Sambil memberi contoh pemberian subsidi gula sehingga RM457 juta setiap tahun dan RM22 bilion untuk minyak diesel dan petrol, Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk meringankan beban rakyat akibat kenaikan harga di pasaran.

Muhyiddin turut membidas tuduhan melulu pembangkang yang mengatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak bertanggungjawab membiarkan rakyat hidup dalam keadaan tertekan.

"Sebenarnya tidak banyak kerajaan walaupun saya nak sebutkan, mungkin Malaysia satu-satunya negara di dunia yang menggunakan sistem kawalan harga," katanya.

Beliau berkata tidak ada kelompok di Malaysia yang terpinggir dan terbiar, "ia bukan dasar kerajaan BN kerana dasar kerajaan adalah untuk lihat kebajikan rakyat sentiasa terpelihara". "Kita di Malaysia mempunyai jaringan sosial yang agak meluas. Setiap individu miskin dan termiskin ada rekod-rekod bentuk bantuan yang diberikan untuk membantu mereka.

"Di Malaysia, sebahagian besar rakyat kita sudah dapat dibantu untuk mengatasi masalah hidup mereka. Ini pendekatan BN yang mengambil kira semua peringkat masyarakat," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Sabah.

Sebelum itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengumumkan peruntukan tahunan sebanyak RM50,000 untuk persatuan berkenaan sebagai penghargaan mereka dalam memajukan bidang pendidikan di negeri ini. -BERNAMA

Artikel Lain