suria

Seorang Lagi Mangsa Kemalangan Lebuh Raya Meninggal Dunia

MELAKA: Seorang lagi mangsa kemalangan yang meragut tiga nyawa di KM198 lebuh raya arah selatan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di sini petang semalam, meninggal dunia di Hospital Melaka pagi Khamis.

Yong Ah Eng, 57, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut kira-kira 9.17 pagi, kata Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi, Khamis.

Yong, dari Simpang Renggam, Johor merupakan makcik kepada mangsa yang maut di tempat kejadian semalam iaitu Ng Beng Tian, 32. Turut terbunuh ialah ibu Ng, Tan Bian, 61, dan seorang mekanik, Muhammad Azizul Safian Rani, 28.

Kejadian kira-kira jam 3.05 petang semalam berlaku apabila sebuah Toyota Harrier merempuh sebuah lori sky lift yang rosak di lokasi itu.

Dalam pada itu, pemandu lori tersebut Ishak Mohamad, 56, patah kaki kiri manakala pemandu Toyota Harrier, Lim Ching Yeo, 32, isteri kepada Ng hanya cedera ringan. - BERNAMA

Artikel Lain