suria

PSC Lynas Adakan Pendengaran Awam Di Gebeng

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi meneliti pembinaan Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) akan mengadakan sesi pendengaran awam pertama di Gebeng, Pahang pada 10 dan 11 Mei depan.

Selain itu jawatankuasa tersebut akan mengadakan satu lagi pendengaran awam di Kuala Lumpur pada 21 Mei dengan melibatkan pihak yang menyokong dan membantah projek berkenaan.

Anggota PSC, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya akan turut mendapatkan pandangan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Sumber Manusia berkaitan pembinaan projek kontroversi di Gebeng itu.

"Kami akan melihat kepada aspek keselamatan, persekitaran dan kesihatan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Tambah beliau, jawatankuasa itu dijangka menyiapkan laporan penuh berhubung kajian berkenaan pada 19 Jun depan.

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan penubuhan PSC berhubung Lynas dengan keanggotaan seramai sembilan orang terdiri daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN), pembangkang dan Bebas.

Namun berikutan keengganan pembangkang menyertainya, jawatankuasa itu akan hanya dianggotai enam Ahli Parlimen, masing-masing lima wakil BN termasuk seorang pengerusi dan seorang wakil Bebas.

Artikel Sebelum

Artikel Lain