suria

Wanita Miliki Dadah Bernilai RM60,000 Dikehendaki Polis

MELAKA: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita dipercayai pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM60,000 dalam serbuan di sebuah bilik hotel bajet di Banda Hilir di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata dua lelaki berusia 27 dan 28 tahun serta wanita berusia 29 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 10.15 pagi.

Beliau berkata wanita terbabit dikehendaki polis sejak dua tahun lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah.

"Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri ke bilik sebelah melalui tingkap namun tidak berjaya kerana telah dikepung 13 anggota polis termasuk seorang pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau berkata polis menemui lapan bungkus dadah dipercayai jenis heroin seberat 536 gram, sebungkus dadah jenis syabu seberat 10 gram serta sebungkus dadah jenis ganja seberat 0.3 gram dalam sebuah beg di bilik hotel itu. Salehhudin berkata dadah jenis heroin itu boleh menghasilkan 3,000 tiub straw jika dibungkus semula dengan satu tiub straw boleh dijual antara RM15 hingga RM20.

Beliau berkata ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati ketiga-ketiga mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang pelayan kafe di sebuah hotel lima bintang di sini, V.Kaminesh, 30, maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Persisiran Pantai Limbongan di sini, pada 5.45 pagi ini.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa yang datang dari arah Limbongan Baru dalam perjalanan pulang ke hostelnya yang terletak di hotel berhampiran Taman Kota Laksamana Utama di sini.

"Setibanya di tempat kejadian, kereta itu dipercayai terbabas lalu melanggar pokok sebelum berpusing dan masuk ke dalam longkang," katanya.

Kaminesh mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain