Lelaki Maut, Isteri Parah Nahas Tiga Kenderaan - Semasa | mStar

Lelaki Maut, Isteri Parah Nahas Tiga Kenderaan

KUANTAN: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah apabila kereta mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di hadapan stesen minyak di Bukit Rangin di sini, Jumaat.

Nasran Tuan Sariff, 39, yang berasal dari Kemaman, Terengganu, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala isterinya Rosemilla Mamat, 32, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata ketika kejadian pada pukul 6.10 petang itu, Nasran bersama isteri dan anak perempuan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Flat Fikri, Kemaman.

Anak perempuan pasangan itu, Nur Faqihah Najla, 3, tidak cedera.

"Mangsa yang memandu Perodua Viva dari arah Gambang menuju ke Pelabuhan Kuantan dipercayai mengubah ke lorong kanan secara tiba-tiba menyebabkan kereta keluarga itu dilanggar sebuah kereta yang berada di belakangnya.

"Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas semula ke kiri jalan dan melanggar sebuah lagi kereta yang berada di simpang keluar stesen minyak itu," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain