suria

Dua Anggota Polis Unit Peronda IPD Kuantan Didakwa Terima Rasuah RM400

KUANTAN: Dua anggota polis unit peronda di Ibu pejabat Daerah Kuantan, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, mengaku tidak bersalah menerima suapan RM400 pada 2010.

Korporal Abdul Rahman Hussain, 54, dan Konstabel Ismail Abdul Rahman, 27, didakwa menerima suapan itu daripada Alimah Abu Bakar sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga Bangladesh Mizanur Rahman, yang pas lawatan kerja sementaranya telah tamat tempoh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di depan Hume Industries (M) Semambu Industrial Estate dekat sini pada 10.30 pagi, 28 Okt 2010 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, bergantung mana lebih tinggi.

Hakim Fathiyah Idris membenarkan tertuduh masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Mei untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain