Rangsang Pelajar: Guru Gagal Dalam Rayuan Berhubung Hukuman Penjara - Semasa | mStar

Rangsang Pelajar: Guru Gagal Dalam Rayuan Berhubung Hukuman Penjara

PUTRAJAYA: Seorang guru sekolah gagal dalam rayuan terakhirnya berhubung hukuman penjara 16 bulan yang dihadapinya bagi kesalahan merangsang dua pelajar Tahun Enam melakukan perbuatan kelucahan melampau, lapan tahun lepas.

Panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk K.N.Segara menolak rayuan dikemukakan oleh Muhammad Nizar Shuib, yang juga merupakan guru tuisyen Bahasa Inggeris kepada dua pelajar lelaki itu.

Muhammad Nizar, 31, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuannya berhubung hukuman penjara 16 bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 9 Mei, 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E, Kanun Keseksaan bagi dua pertuduhan merangsang dua budak lelaki itu yang berumur 14 tahun untuk melakukan perbuatan itu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kubang Pasu, Kedah, antara Mei 2003 dan April 2004.

Terdahulu, peguam yang mewakilinya G. Ravishankar berhujah pertuduhan terhadap anak guamnya itu adalah tidak kukuh kerana tiada tarikh dan masa spesifik mengenai kejadian yang didakwa dalam pertuduhan.

Katanya pihak pendakwaan juga gagal membuktikan umur dua budak lelaki itu adalah di bawah 14 tahun serta tiada sijil kelahiran dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan untuk membuktikan perkara itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi dalam hujahannya berkata umur kedua-dua mangsa telah dibuktikan melalui keterangan lisan diberikan ibu mereka, pegawai penyiasat dan guru sekolah semasa perbicaraan.

Katanya tidak diragui bahawa pertuduhan memegang kemaluan kanak-kanak merupakan perbuatan kelucahan melampau.

Katanya ibu kepada seorang daripada mangsa menyedari yang anaknya beberapa kali pulang lewat ke rumah daripada kelas tuisyen. Apabila dia bertanya mengenai perkara itu, anaknya berkata guru telah memintanya menyusun buku.

Bagaimanapun, apabila ditanya sekali lagi, budak lelaki itu memberitahu ibunya yang guru meminta dia mengurutnya, kata Tetralina.

Katanya selepas itu ibu budak lelaki itu telah melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah. Kemudiannya ibu seorang lagi budak lelaki turut membuat laporan kepada pihak sekolah mengenai kejadian serupa.

Hakim Segara yang mendengar rayuan itu bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Linton Albert berkata hakim Mahkamah Sesyen membuat keputusan betul apabila mensabitkan Muhammad Nizar dengan kedua-dua pertuduhan itu.

Katanya terdapat keterangan lisan yang mencukupi untuk menunjukkan mangsa berumur bawah 14 tahun.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan itu, Muhammad Nizar dikerumuni anggota keluarganya sebelum dia dihantar ke penjara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain