suria

Parlimen Belia: Suara Belia Lebih Didengari Berbanding Demonstrasi Jalanan

KUALA LUMPUR: Parlimen Belia yang akan diadakan nanti mampu memberi suara yang lebih besar kepada golongan ini dalam menyatakan pendirian mereka berbanding suara-suara yang dilaungkan daripada demonstrasi jalanan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, pihaknya percaya pendekatan itu paling bertanggungjawab kerana dapat memberi pemahaman kepada generasi muda dalam demokrasi yang diamalkan di dalam negara.

"Berdemonstrasi, jerit ramai-ramai di tepi jalan...orang tidak berapa dengar sebab ramai yang jerit. Melalui Parlimen Belia ini kita boleh bawa usul dan akan melihat sendiri prosesnya dari satu fasa ke satu fasa yang lain.

"Melalui langkah ini juga kerajaan dapat melahirkan anak muda yang lebih bertanggungjawab agar tidak memilih demonstrasi sebagai jalan menyatakan pendirian, tetapi memilih saluran yang lebih bermanfaat pada masa depan negara," katanya dalam satu sidang media di Parlimen pada Isnin.

Beliau berkata, Parlimen Belia itu nanti akan memberi lebih kepuasan kepada belia kerana dapat mempelajari sistem demokrasi Raja Berperlembagaan yang harus difahami dan warisi.

Jelasnya, walaupun proses pembentukan Parlimen Belia itu berjalan perlahan tetapi ia akan memberi sesuatu yang berkesan.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, sesi ujian bagi parlimen belia dijangka akan diadakan selepas Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang.

"Pada perancangan kita setelah habis Dewan Rakyat dan Dewan Negara, ini dalam perancangan, kerana kita mahu gunakan dewan yang sama. Belia yang akan dipilih akan mewakili 222 kawasan parlimen.

"Kita mengharapkan Dewan Rakyat digunakan sebagai tempat Parlimen Belia ini bersidang. Jika tidak kita terpaksa bina yang baru.

"Kita ada cadangan-cadangan tarikh tetapi kalau dapat dilaksanakan pada waktu tiada dewan bersidang," katanya.

Menurutnya, ketika ini pihak jawatankuasa yang terdiri daripada wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) sedang menjalankan proses memilih wakil belia di setiap parlimen.

Mereka yang ingin mewakili parlimen masing-masing boleh membuat permohonan secara terus atau atas talian di laman web MBM.

Permohonan terbuka kepada mereka yang berusia 18 hingga 30 tahun mengikut alamat kad pengenalan dan perlu mendapat tandatangan sekurang-kurang 50 orang belia di kawasan mereka.

Selain itu mereka perlu menulis esei agar jawatankuasa pemilih dapat mengenalpasti tahap kefahaman mereka.

Razali berkata, setakat ini hampir keseluruhan parlimen telah menghantar wakil.

"Permohonan yang diterima sangat memberansangkan apabila kawasan pedalaman antara yang terawal menghantar permohonan. Bagaimanapun, permohonan yang diterima adalah seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.

"Tahun ini adalah tahun ujian, wakil yang dipilih akan dipanggil untuk sesi temuduga yang melibatkan Kementerian belia, MBM, serta mendapat pemerhatian daripada parlimen Malaysia.

Parlimen Belia ini akan bersidang dua hingga tiga kali setahun termasuk sesi bersama Perdana Menteri.

Satu jawatankuasa terpilih juga akan dibentuk bagi membincangkan isu-isu tertentu.

Artikel Lain