suria

Mayat Penyelam Lemas Dua Minggu Lepas Ditemui

LUMUT: Mayat penyelam, Nasir Mohtar, 53, yang dilapor hilang ketika menyelam berhampiran Pulau Rumbia di kawasan perairan Pulau Sembilan 17 Mac lepas ditemui terapung di Perairan Pulau Jarak, dekat sini awal pagi Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superitendan Ahmad Mat Isa ketika dihubungi berkata, lelaki itu dikenalpasti oleh keluarga mangsa melalui jam tangan dan pakaian mangsa.

Terdahulu, Ketua Penguatkuasaan Daerah Maritim 3, Kapten Ang Cheng Hwa berkata, mayat Nasir ditemui oleh seorang nelayan ketika dalam perjalanan balik ke Lumut selepas memancing ikan.

"Berikutan itu, pihak APMM menghantar bot Penggalang 13 dibantu kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Laksamana Hang Nadim ke lokasi untuk mengesan mayat itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata, anggota bot Penggalang 13 menemui mayat Nasir yang lengkap berpakaian penyelam itu pada pukul 5.45 pagi kira-kira 2 batu nautika dari Pulau Jarak. Mayat Nasir dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat.

Nasir Mohtar yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilapor hilang ketika menyelam bersama sekumpulan 13 rakannya. - BERNAMA

Artikel Lain