suria

Dua Penjual Burger Parah Ditetak Sekumpulan Lelaki

GEORGE TOWN: Dua remaja parah ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di Bandar Baru, Air Itam dekat sini, Isnin.

Kedua-duanya cedera di kepala, tangan dan kaki dan dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Seorang saksi kejadian, S. Satiahilen, 20, berkata dalam kejadian pukul 7 malam ini, dia bersama mangsa masing-masing berusia 20-an sedang membuat persiapan untuk membuka gerai burger mereka sebelum diserang secara mendadak oleh kumpulan samseng terbabit.

"Bilangan penyerang lebih dari 10 orang. Beberapa orang dari mereka macam dirasuk tiba-tiba belasah dan tetak dua kawan saya. Kami tidak kenal mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HPP.

Katanya kumpulan lelaki itu segera beredar apabila beberapa orang awam yang lalu di situ datang membantu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng mengesahkan kejadian tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kes lain, seorang bayi lelaki berusia dua bulan maut dipercayai akibat tersedak susu di Taman Desa Permata, Paya Terubong kira-kira 6 petang Isnin.

Mangsa, Lau Yi Yang dikatakan sedang disusukan pengasuhnya dengan botol susu di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak.

Sumber polis memberitahu bayi itu kemudiannya dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk siasatan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain