suria

Tiga Warga China Terkorban Dalam Insiden Kebakaran Lombong

KUCHING: Tiga warga China meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap semasa kebakaran di dalam lombong arang batu Lucky Hill di Abok, dekat Pantu, kira-kira 80km dari Sri Aman, Jumaat.

Ketika mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Mohamad pada Sabtu berkata identiti ketiga-tiga mangsa itu, dipercayai pelombong kanan yang bekerja dalam projek usahasama antara Malaysia dan Korea, masih belum dikenal pasti.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa merupakan antara lima pekerja, termasuk jurutera teknik dan jurutera keselamatan, yang masuk ke dalam terowong untuk membuat penilaian sama ada selamat bagi pekerja meneruskan operasi selepas kebakaran itu mula dikesan kira-kira 8 pagi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata seorang daripada mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami di hospital Serian manakala dua orang lagi di pusat perubatan Timberland di sini.

Sebelas warga China turut dimasukkan ke pusat perubatan Timberland dan dua lagi ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk rawatan, katanya.

Lapan pekerja cedera ketika kebakaran mula berlaku. - BERNAMA

Artikel Lain