suria

Kursi Kepimpinan Wanita Memartabatkan Wanita - Shahrizat

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mewujudkan Kursi Kepimpinan Wanita di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menjalankan penyelidikan berkaitan kepimpinan wanita di peringkat nasional dan antarabangsa. Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kursi berkenaan akan memberi input dasar kepada kerajaan berhubung kepimpinan wanita.

Selain itu, beliau berkata kursi ini akan menjalankan latihan kepimpinan kepada golongan wanita dan menjalankan aktiviti advokasi bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat berhubung isu-isu wanita masa kini dan masa hadapan.

"Kursi Kepimpinan Wanita yang julung-julung kali diwujudkan ini merupakan satu lagi mercu tanda dalam perjuangan kita memartabatkan wanita di negara ini.

"Penubuhan kursi ini merupakan satu bentuk pelaburan bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penglibatan golongan wanita yang berkaliber, intelektual dan mempunyai daya kepimpinan ke arah menjayakan agenda pembangunan modal insan negara," katanya pada majlis pelancaran Kursi Kepimpinan Wanita di sini, Jumaat.

Pada majlis sama, Shahrizat menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman pewujudan kursi antara Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin.

Beliau juga menyerahkan geran penubuhan RM500,000 kepada Naib Canselor UKM itu. Shahrizat berharap aktiviti yang bakal dijalankan oleh kursi ini terutama penyelidikan dapat dijadikan asas kukuh dalam penggubalan dasar bagi meningkatkan kapasiti wanita terutamanya dalam bidang kepimpinan agar pendekatan berasaskan penyelidikan dapat dipraktikkan.

"Perlantikan penyandang (kursi) akan dibuat melalui jawatankuasa yang dianggotai UKM (sebagai pengurusan kursi) serta kementerian (sebagai penaja kursi) dan diketuai Dr Noorul. Permohonan sebagai penyandang kursi akan dipilih oleh jawatankuasa," katanya.

Sementara itu, Sharifah Hapsah berkata UKM, sebuah universiti penyelidikan akan menggunakan dana yang diperuntukkan untuk memastikan tokoh yang akan menyandang kursi adalah daripada kalangan tokoh ilmuwan kepimpinan yang layak dan bertanggungjawab dalam mengembangkan ilmu kepimpinan wanita Malaysia.

"Aktiviti wacana ilmiah, penyelidikan, penerbitan dan perkongsian ilmu dalam kepimpinan wanita akan dirancang secara komprehensif dengan penyandang kursi.

"Kami yakin Kursi Kepimpinan Wanita akan membangunkan pemimpin massa wanita yang diperlukan serta mentransformasikan kepimpinan individu, keluarga, masyarakat dan organisasi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain