suria

Datuk Amar Singh, ACP Zulkarnain Dipanggil Pada Inkues Baharudin

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman merupakan antara 16 saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam inkues berhubung kematian pemandu teksi Baharudin Ahmad ketika menyertai perhimpunan haram 9 Julai tahun lepas.

Perkara itu berbangkit selepas peguam Ahmad Jufliz Faiza yang mewakili keluarga Baharudin memohon kepada Mahkamah Koroner di sini hari ini untuk memanggil kesemua saksi berkenaan dalam prosiding inkues tersebut.

Selain Amar dan Zulkarnain, turut dipanggil untuk memberi keterangan ialah pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr. Ferwan Fairis Ab Karim dan pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan HKL yang hanya dikenali sebagai Dr Sara.

Ahmad Jufliz turut memohon kepada mahkamah untuk memanggil semula tiga saksi pendakwaan iaitu saksi ke-11 penolong pegawai perubatan HKL Mohd Bakhtiar Hazizi Che Muda, saksi ke-13 pegawai perubatan di Zon Resitasi, Jabatan Kecemasan HKL Dr Murniza Murad dan saksi ke-16 pakar patologi HKL Dr Khairul Anuar Zainun.

Bagaimanapun Koroner Zulkpli Abdullah membenarkan Ahmad Jufliz memanggil Zulkarnain, Dr Ferwan Fairis dan Dr Sara memberi keterangan sebelum saksi ke-22 pegawai penyiasat Sarjan Razali Mahmud memberi keterangan.

Manakala Amar Singh hanya akan dipanggil memberi keterangan selepas mahkamah mendengar keterangan daripada Razali.

Mengenai tiga saksi pendakwaan yang ingin dipanggil semula, Zulkpli mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan bertulis dan menyatakan alasan mengapa kesemua mereka perlu dipanggil semula memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh dan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad dan Mohamad Shah Reza Nor Azman. Inkues disambung pada Selasa depan. - BERNAMA

Artikel Lain