suria

SPR Perlu Tambah Baik Kemudahan Mengundi Untuk OKU

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menambah baik kemudahan mengundi untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan golongan itu dapat mengundi dengan sempurna.

Presiden Majlis Gabungan Persatuan OKU Malaysia Datuk Mah Hassan Omar berkata sebagai warganegara Malaysia, golongan OKU mempunyai hak untuk mengundi sama seperti warganegara Malaysia yang normal.

"Sekiranya kemudahan disediakan tidak mencukupi, hak OKU sebagai warganegara Malaysia untuk mengundi akan terhalang disebabkan keupayaan kami yang terbatas," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang cacat penglihatan berkata terdapat tiga penambahbaikan utama yang perlu dilakukan. Pertama ialah pusat pengundian perlu disediakan dengan fasiliti yang mesra OKU.

"Pusat pengundian selalunya di sekolah dan balai raya, memerlukan lebih banyak fasiliti seperti 'ramp' (tanjakan) bagi mereka yang berkerusi roda atau bertongkat, dan laluan lebih ringkas bagi OKU menuju ke saluran pengundian mereka.

"SPR tempatkan ramai pembantu tetapi kami perlukan persekitaran lebih bebas untuk bergerak. Pada masa depan pihak terlibat perlu bina bangunan yang punyai lebih banyak kemudahan OKU kekal, ini memudahkan SPR menjadikan pusat pengundian itu mesra OKU," katanya.

Mah Hassan berkata keduanya ialah menyediakan kertas undi khusus untuk OKU cacat penglihatan.

"Memang kita boleh bawa sekali keluarga terdekat bantu pangkah kertas undi, tetapi selain daripada anak, isteri atau suami, kejujuran orang yang mereka bawa boleh dipersoal.

"Cara terbaik, buat kertas undi yang boleh dibaca golongan cacat penglihatan seperti kertas undi yang ada tulisan braille atau ada imej cetakan yang timbul.

Beliau berkata yang ketiga ialah memberi mandat kepada majlis itu serta anggota gabungannya menyalurkan maklumat pengundian kepada OKU di seluruh negara.

"Kami ingin membantu SPR dan OKU sendiri, bagi menyalurkan maklumat seperti tempat mengundi kerana mobiliti OKU terbatas. Sekiranya tersalah pergi tempat mengundi masa PRU-13 nanti sukar untuk kami pergi ke tempat lain," katanya.

Mah Hassan berkata selain golongan OKU, kemudahan itu akan turut memberi keselesaan terhadap warga emas, wanita hamil serta 'OKU sementara' seperti mereka yang mengalami kecederaan yang membataskan pergerakan.

"OKU ini minoriti dalam daftar undi tetapi undi kami dikira sebagai penentu siapa memerintah, ditambah golongan lain seperti warga emas dan wanita hamil, kumpulan pengundi ini menjadi lebih besar," katanya.

Pengarah Eksekutif Beautiful Gate Foundation For The Disabled, Sia Siew Chin berkata pegawai SPR perlu diberi latihan komprehensif mengenai bagaimana untuk membantu dan menyediakan kemudahan untuk golongan OKU.

Beliau yang lumpuh dan menggunakan kerusi roda mencadangkan supaya pengundi OKU dikhususkan untuk mengundi di pusat yang tidak mempunyai tangga, rumput tebal, longkang dan dinding yang memisahkan tempat mengundi dan tempat menunggu untuk mengundi.

"Pengundi cacat pendengaran apabila nama mereka dipanggil untuk mengundi di ruang mengundi, mereka tidak mendengarnya. Akhirnya mereka terlepas peluang untuk mengundi kerana dianggap tidak hadir. Ini adalah antara beberapa maklum balas yang kami terima," katanya.

Sia berkata topik-topik kempen disalurkan menerusi media cetak dan elektronik seperti TV dan radio dan ini menimbulkan masalah kepada mereka yang cacat pendengaran dan penglihatan untuk mengetahui apa yang ditawarkan oleh parti-parti politik.

Beliau juga berkata kebanyakan mereka yang diklasifikasikan sebagai mengalami ketidakupayaan intelektual peringkat sederhana dan teruk tidak berdaftar sebagai sebagai pengundi dan menurutnya golongan dengan ketidakupayaan intelektual boleh mengundi manakala golongan yang menghidap masalah mental tidak boleh mengundi.

"Wujud keperluan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya memastikan semua warganegara melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi khususnya di kalangan golongan kelainan upaya. Juga perlu ada statistik mengenai pengundi kelainan upaya.

"Usaha ini perlu dilakukan di peringkat kebangsaan untuk menggalakkan perubahan sikap dan diharapkan ini akan memastikan anggota keluarga membantu anggota keluarga mereka yang terdiri daripada orang kelainan upaya untuk mendaftar sebagai pengundi," katanya.

Sokongan daripada keluarga merupakan langkah amat penting dalam memenuhi hak golongan kelainan upaya untuk mengundi.-BERNAMA

Artikel Lain