suria

Gadis Hilang Di Jerantut Ditemui Di Kuantan

KUANTAN: Seorang pelajar berusia 15 tahun yang dilapor hilang selepas keluar membeli kad tambah nilai telefon bimbit, di Jerantut, Isnin lepas, ditemui bersama teman lelakinya di Kuantan.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata pelajar terbabit Nornabila Mat Yaacob yang dipercayai mengikut teman lelakinya ke Kuantan, ditemui keluarganya pada pukul 10 malam Rabu.

"Ibu pelajar terbabit, sebelum itu menghubungi teman lelaki anaknya itu dan dimaklumkan Nornabila berada di Kuantan.

"Keluarga Nornabila yang menetap di Taman Koperasi, Jerantut ke Kuantan dan menemui Nornabila di sebuah kedai serbaneka di Taman Tas, Kuantan," katanya kepada Bernama, di sini Khamis.

Azid berkata berdasarkan siasatan awal, pelajar terbabit pernah melarikan diri dari rumah sebelum ini bersama teman lelakinya yang berusia 20-an dan telah berkahwin itu.

Pada Ahad lepas, seorang remaja perempuan, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, dilapor hilang disyaki diculik di Taman Tas, Kuantan dan setelah ditemui dia mengaku dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya yang berumur 26 tahun. - BERNAMA

Artikel Lain