suria

Dua Lelaki Warga Asing Mengaku Simpan Harta Curi, Tipu Pegawai Bank

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 227 pertuduhan, termasuk menyimpan harta curi dan cuba menipu dua pegawai bank dua minggu lepas.

Hakim Che Mohamad Zulkifly menetapkan pada Jumaat untuk rayuan serta hukuman selepas Alexander Sinowenka, 50, dari Jerman dan Tomas Diaz, 65, dari Filipina, mengaku bersalah.

Bagi pertuduhan berkaitan harta curi, mereka didakwa menyimpan 206 keping cek Kembara American Express di bilik No 202, Hotel City, Jalan Raja Laut pada 1 petang, 4 Mac lepas.

Diaz turut berdepan pertuduhan menyimpan lima keping cek Kembara American Express di Aras 2, Pondok Polis KL Sentral, Brickfields pada waktu dan tarikh yang sama.

Semua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mereka berdepan pertuduhan cuba menipu Mohd Shukri Hanafi Kahar bahawa tujuh keping cek kembara adalah tulen, sedangkan ia palsu, bagi mendorong pegawai bank tersebut menyerahkan wang tunai USD700 kepada mereka di Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 3 Mac lepas.

Mereka juga didakwa cuba menipu Adli Othman bagi menukar enam keping cek Kembara American Express palsu dengan mata wang Ringgit Malaysia di Maybank KL Sentral, Aras 1, Brickfields pada 1 petang, 4 Mac lepas.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan sebat dan denda.

Sinowenka turut berdepan tiga pertuduhan memiliki pasport palsu atas nama Rangel Cid Proenca Jose Nuno, Fruehauf Herman J.K dan Pilip Ponte di bilik No 202, Hotel City, Jalan Raja Laut pada 7.15 petang, 4 Mac lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Aishah KM Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain