suria

Majikan Juga 'Boleh' Caj Amah Untuk Makan, Minum, Tempat Tinggal - Mama

Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein.
Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein.
Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein.

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB PETALING JAYA: Majikan di negara ini juga boleh mengenakan caj kepada amah dari Indonesia untuk makan, minum dan tempat tinggal mereka, kata Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein.

Beliau berkata, tindakan itu sekiranya pihak Indonesia terus mengenakan pelbagai caj yang tidak berpatutan kepada majikan Malaysia untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah dari republik itu.

“Jika pihak Indonesia mahu mengenakan gaji minimum RM700 dan ada pula caj (upah) tambahan lain untuk amah yang akan berkhidmat di Malaysia, kenapa tidak kita juga mengenakan caj kepada mereka?

“Saya fikir (gaji dan upah lebih masa) tak masuk akal. Kalau macam tu, majikan juga boleh caj amah untuk makan, minum dan tempat tinggal sepanjang mereka berkhidmat di negara ini kerana semuanya disediakan oleh majikan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Sabtu.

Beliau mengulas mengenai kenyataan susulan berkaitan dengan pembantu rumah dari Indonesia apabila majikan Malaysia perlu membayar upah lebih masa RM27 sehari bekerja jika memerlukan khidmat pekerja domestik itu pada hari cuti rehat mingguan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman di Jakarta.

Reyna berkata, pembantu rumah Indonesia yang akan mula dikirim ke Malaysia bulan depan akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.

Ini bermakna, pembantu rumah dari Indonesia akan memperoleh gaji termasuk upah sekurang-kurangnya RM808 sebulan sekiranya mereka bekerja penuh sebulan tanpa hari cuti mingguan.

Kesepakatan itu berdasarkan hasil yang dicapai pada pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indnonesia serta majikan Malaysia.

“Tak masuk akal. Kalau majikan turut kenakan caj kepada amah, adakah pihak Indonesia turut merasakan ia tidak logik. Fikirkan,” ujar Engku Ahmad Fauzi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Jumaat menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak mengikut persefahaman yang dicapai antara Malaysia dengan negara jirannya.

Engku Ahmad Fauzi berkata: “Isu ini akan disiasat kerana Menteri (S. Subramaniam) sendiri terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh pihak Indonesia. Saya berharap kerajaan akan meneliti perkara berkenaan.”

Sekiranya perkara tersebut adalah benar, Engku Ahmad Fauzi berkata, kerajaan Malaysia perlu berunding semula dengan kerajaan Indonesia berhubung perkara berkenaan.

“Mama selaku wakil majikan (kepada pembantu rumah di Malaysia) seharusnya turut dipanggil dalam rundingan itu nanti bagi menyelesaikan sebarang konflik kerana pengambilan pembantu rumah melibatkan hak majikan,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya konflik mengenainya berterusan, kemungkinan wujud trend baru di mana majikan Malaysia terpaksa beralih menggaji pembantu rumah dari negara-negara lain dan antaranya mengambil khidmat di kalangan rakyat tempatan.

“Dan bakal berlaku konflik di kalangan amah Indonesia yang sedia ada di negara ini, apabila mereka tidak puas hati dengan amah yang baru nanti akan dibayar gaji minimum RM700 untuk menjalankan satu tugas khusus sahaja,” katanya.

Sebelum dihantar ke Malaysia, pembantu rumah dari Indonesia diwajibkan menjalani latihan kemahiran selama 200 jam yang mengambil masa 21 hari.

Mereka akan dilatih dengan kemahiran masing-masing melibatkan empat jawatan khusus iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah.

Artikel Lain