suria

'Gang Matau' Pecah Rumah Pelajar Tumpas

MARAN: Polis Maran berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah yang dikenali sebagai 'Gang Matau' yang menyasarkan rumah pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pahang, di Jengka.

Menurut Ketua Polis Daerah Maran, DSP Ahmad Johari Shahabudin tiga lelaki termasuk ketua kumpulan berkenaan berusia 20 hingga 37 tahun berjaya diberkas pada Rabu ketika sedang melepaskan gian menghisap dadah di sebuah rumah di Taman Jengka Mahkota di sini.

"Dalam serbuan 2.30 pagi semalam, polis turut menemui rantai leher, cincin emas, komputer riba dan projektor yang dipercayai barang curi.

"Selain itu, polis turut menemui peralatan menghisap dadah dan pelbagai jenis dadah di dalam rumah tersebut yang dianggarkan bernilai RM11,000," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata semua suspek itu juga dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di daerah berkenaan.

Ahmad Johari berkata penangkapan tiga suspek berkenaan adalah rentetan daripada tangkapan dua lelaki yang dipercayai anggota kumpulan itu pada 3 Mac lalu dan Selasa lepas.

"Lelaki yang berumur 31 tahun itu ditahan ketika pecah masuk sebuah rumah di Taman Desa Jaya di sini pukul 4.14 pagi pada 3 Mac lepas.

"Hasil daripada tangkapan lelaki tersebut, pihak polis berjaya menahan seorang lagi lelaki berumur 30 tahun di Rantau Perintis di sini pada Selasa lalu," katanya.

Ahmad Johari berkata sindiket itu juga mempergunakan penagih dadah untuk melakukan aktiviti pecah rumah.

"Selepas itu, penagih dadah ini akan menukarkan barang berharga yang dicuri dengan dadah yang dibekalkan sindiket ini," katanya.

Menurut beliau, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak 2009 dan dipercayai terbabit dalam 23 kes pecah rumah di sekitar Jengka yang kebanyakan membabitkan rumah pelajar UiTM cawangan Pahang di sini. - BERNAMA

Artikel Lain