suria

Kerajaan Pulau Pinang Perlu Beri Penjelasan Berhubung Pembinaan Kilang Solar

GEORGE TOWN: Pemuda Gerakan Pulau Pinang pada Selasa meminta kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang supaya menjelaskan kepada rakyat khususnya penduduk di Batu Kawan berhubung projek kilang Solar yang akan dibina di kawasan berkenaan.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Pemudanya Rich Too berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng harus menerangkan kepada rakyat secara terperinci berhubung lokasi yang telah dikenal pasti untuk membina kilang tersebut dan sama ada projek itu akan menjejaskan aktiviti harian penduduk di situ.

"Lim harus memberikan satu penjelasan yang terperinci tentang projek tersebut supaya penduduk dikawasan berkenaan mengetahui tentang projek solar ini," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata Gerakan tidak menentang teknologi solar ini tetapi kerajaan seharusnya berunding dengan penduduk sekitar Batu Kawan sebelum membuat sebarang keputusan untuk membina kilang.

"Kami juga ingin tahu sama ada Lim telah mendapatkan pandangan penduduk-penduduk Batu Kawan sebelum membuat keputusan," katanya.

Katanya, sebagai contoh, kilang solar di Kulim, Kedah telah dibina di tempat perkilangan bagi mengelakkan sebarang kesan negatif kepada penduduk sekitar.

"Menurut kajian yang dibuat, proses solar ini akan mengeluarkan lebih 10 bahan kimia dan bahan-bahan ini mungkin akan menjejaskan aktiviti harian penduduk yang duduk berhampiran," katanya.

Menurut laporan sebelum ini, BOSCH Group dari Jerman akan melabur RM2.2 bilion bagi membina kilang pengeluaran panel solar di Pulau Pinang selepas perjanjian memorandum yang dibuat kerajaan negeri.

Ketua Eksekutif Bosch Solar Energy AG Holger von Hebel berkata kilang yang akan dibina di Batu Kawan, Pulau Pinang itu akan mengandungi kemudahan bagi pengeluaran keseluruhan rangkaian nilai tambah panel solar, bermula daripada kristal silikon dan sel solar kepada modul yang boleh dipasang pada bumbung atau loji tenaga solar.

Katanya, pembinaan kilang yang akan dibuat dalam beberapa fasa itu dijadual bermula sebelum akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain