suria

Pekerja Kafe Siber Ditemui Mati Dengan Pisau Tertusuk Di Dada

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kafe siber ditemui mati dibunuh dalam keadaan pisau tertusuk di bahagian dada oleh rakan sekerjanya di Jalan Bunga Tanjung 10, Taman Muda, Ampang di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata mangsa berumur lingkungan 20-an dipercayai dibunuh kira-kira pada 5 petang tadi ketika mangsa sedang bermain komputer di kafe siber itu sebelum mayatnya ditemui oleh seorang rakan sekerja 10 minit selepas kejadian itu.

"Kita menerima maklumat dari salah seorang pekerja kafe itu. Mangsa dan suspek merupakan lelaki tempatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya siasatan awal melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kafe tersebut mendapati mangsa dibunuh dengan satu tikaman oleh suspek yang berumur dalam lingkungan 30-an.

"Ketika kejadian hanya mereka berdua sahaja berada dalam kafe siber itu. Kita tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan perselisihan faham," katanya.

Amiruddin berkata mayat mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat dan polis masih menyiasat motif kejadian sebenar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain