suria

Malaysia Lepasi Kebanyakan Sasaran ETP - Idris Jala

KLANG: Malaysia telah melepasi kebanyakan daripada sasaran tahun pertama Program Transformasi Ekonominya (ETP), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Sabtu.

Sementara itu, jumlah pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) melebihi 100 peratus, iaitu 129 peratus," kata beliau.

Idris berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pusat kebajikan yang dikendalikan oleh Grace Community Services dengan kerjasama TA Enterprise Bhd di Pusat Bandar Berkeley, di sini.

Idris berkata satu daripada aspek ETP ialah untuk meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM1.7 trilion menjelang 2020. Bagaimanapun, angka tahun lepas iaitu RM841 bilion, telahpun melepasi sasaran RM797 bilion.

Selain daripada GNI, satu lagi elemen penting ETP ialah pelaburan swasta dan pewujudan pekerjaan, kata beliau.

"Dalam pelaburan sektor swasta, sasaran kita tahun lepas ialah RM83 bilion tetapi kita telahpun mencapai RM94 bilion. Jadi, usaha kita berjalan lancar ke hadapan."

Idris berkata sehingga suku ketiga tahun lepas, terdapat lebih 500,000 pekerjaan telah diwujudkan berbanding sasaran 2011 sebanyak 600,000 pekerjaan dan Jabatan Perangkaan dijangka mengumumkan angka sepenuh tahun 2011 bulan depan.

Menyentuh mengenai hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP) pula, beliau berkata program di bawah GTP telahpun 131 peratus melepasi sasarannya yang termasuklah mengurangkan kadar jenayah, menyediakan infrastruktur luar bandar dan meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan mengumumkan butir terperinci laporan penuh pada bulan April kepada orang ramai mengenai apa yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lepas dan tahun ini agar orang ramai tahu mengenai pelaksanaan dan juga maklum apa yang akan dilakukan dalam tahun-tahun seterusnya," kata beliau.

Beliau berkata kerajaan perlu kekal fokus dan berusaha ke arah mencapai sasaran membawa Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. - BERNAMA

Artikel Lain