suria

Penyelia Kilang Didakwa Tipu Pengawal Keselamatan

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini,Jumaat terhadap pertuduhan menipu seorang pengawal keselamatan membabitkan RM75,750.

C Mapur Abdus Sukur, 33, dituduh menipu Azizah Dolmat, 49, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tanah di Lot No. 1754, Mukim Masjid Tanah, Alor Gajah akan ditukar hak milik kepada Azizah sehingga mendorong wanita itu menyerahkan wang sejumlah itu kepada tertuduh.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Bangsar, Brickfields di sini antara 23 Januari 2010 hingga 20 Dis 2011.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan, yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal, memohon jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Khairul Amin Abdullah memohon supaya jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

Artikel Lain