suria

MCA Anggap Penubuhan Jawatankuasa PAS Pantau MB Kedah Langgar Undang-Undang Tubuh Negeri

ALOR SETAR: Penubuhan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau pentadbiran kerajaan Kedah oleh Pas Pusat bertentangan dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri malah tidak menghormati Sultan, kata pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew.

Katanya undang-undang tubuh kerajaan negeri meletakkan Menteri Besar serta barisan exconya pada kedudukan paling tinggi dalam pentadbiran negeri bagi membuat keputusan dan tidak perlu dirujuk kepada satu jawatankuasa lain.

"Penubuhan sebuah jawatankuasa yang mempunyai kuasa mengatasi kuasa Menteri Besar dan exco boleh dianggap tidak menghormati Sultan yang memberi perkenan pelantikan mereka.

"Jadi semua perkara perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pemandu sebelum boleh diluluskan oleh mesyuarat exco," kata Chong, yang juga bekas anggota exco kerajaan negeri ketika Datuk Seri Syed Razak Syed Zain menjadi Menteri Besar.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, mengumumkan baru-baru ini Pas Pusat akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau pentadbiran kerajaan Kedah sebagai penyelesaian kemuncak kemelut Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan dua bekas exconya, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh.

Jawatankuasa Pemandu itu bertindak sebagai tempat merujuk dan aduan pemimpin Pas Kedah jika tidak berpuas hati dengan keputusan Azizan.

Chong berkata Menteri Besar dan barisan exco termasuk Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri perlu mengangkat sumpah mengikut akta menyimpan rahsia sedangkan anggota Jawatankuasa Pemandu tidak perlu melakukannya.

Katanya anggota jawatankuasa itu bukan wakil rakyat dan tidak seharusnya terlibat dalam pentadbiran negeri, kerana mengikut prinsip demokrasi, Menteri Besar dan exco seharusnya bebas membuat keputusan.

"Saya ingin bertanya adakah Pas mengamalkan semangat pakatan iaitu wakil PKR dan DAP akan dimasukkan dalam jawatankuasa tersebut atau semua keputusan mereka buat tanpa perlu dapat persetujuan parti sekutu?

"Di mana peranan kaum Cina dan India dalam isu ini (Jawatankuasa Pemandu). Adakah wakil DAP dan PKR yang dilantik sebagia exco selama ini sekadar untuk memenuhi kuota," kata Chong.

Beliau berkata adalah wajar Pas Pusat membatalkan cadangan penubuhan jawtankuasa itu bagi menghormati Sultan dan rakyat Kedah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain