suria

Selcat Tidak Akan Dapat Bentangkan Keputusannya Di Dewan Undangan Negeri - Teng

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) Datuk Teng Chang Khim berkata jawatankuasa itu tidak akan dapat membentangkan keputusan siasatan awamnya mengenai tiga syarikat milik negeri di Dewan Undangan Negeri yang dijadual bermula 19 Mac ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu memerlukan masa untuk memberi perhatian teliti kepada pelbagai isu yang rumit dan teknikal yang dibangkitkan semasa pendengaran terhadap syarikat-syarikat terbabit.

"Pihak jawatankuasa memerlukan masa yang lebih panjang untuk meneliti setiap maklumat yang diberikan daripada pelbagai aspek selain bagi memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan pendengaran Selcat mengenai anak-anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini.

Selain PKPS, Selcat juga mengadakan siasatan terhadap Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor dan pemegang konsesi melombong pasir dan sayap pendidikan negeri, Yayasan Selangor, masing-masing pada Isnin dan Selasa.

Teng berkata pendengaran awam yang tamat hari ini akan disambung semula jika wujud keperluan.

Sebelum itu, Pengurus Besar PKPS Ali Ahmad semasa memberikan kenyataannya kepada Selcat, berkata tiga syarikat di bawah PKPS, telah mengambil pinjaman RM90.3 juta daripada Kementerian Kewangan bagi menjalankan projek untuk memaju dan mengkomersialkan pertanian.

Bagaimanapun, Ali berkata pada masa ini, PKPS hanya berhutang kira-kira RM40.1 juta daripada pinjaman itu selepas menjual dua daripada syarikatnya bagi mengurangkan kerugiannya.

Beliau berkata projek-projek antara 2005 dan 2006 mengalami kerugian atau gagal mencapai sasaran yang mengakibatkan kerugian teruk. Ali juga berkata PKPS menghadapi kekangan tertentu dan tidak dapat beroperasi dengan berkesan. - BERNAMA

Artikel Lain