suria

Pesara Jururawat Maut Selepas Dilanggar Tiga Kenderaan

TANAH MERAH: Seorang pesara jururawat maut digilis tiga kenderaan manakala suaminya parah dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 71 Jalan Kota Baharu-Machang-Jeli, di sini Sabtu.

Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, Kamariah Osman, 63, yang ketika itu bersama suaminya, Yahya Ahmad, 66, dikatakan sedang melintas jalan menuju ke gerai makan selepas menunaikan solat subuh di Masjid Kampung Panglima Bayu, di sini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Tanah Merah C/Insp Zamri Mustaffa berkata pasangan suami isteri itu adalah anggota rombongan persatuan surau dari Kemaman, Terengganu.

Beliau berkata Kamariah dikatakan dirempuh oleh dua kereta dari arah Tanah Merah ke Jeli dan kali ketiga oleh sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan ketika wanita itu berhenti di garisan berkembar di tengah jalan.

"Suami mangsa, Yahya turut rebah selepas rempuhan kali pertama, namun sempat bangun dan menyelamatkan diri dalam keadaan cedera parah. Dia dihantar orang ramai ke Hospital Tanah Merah," katanya ketika dihubungi di sini.

Zamri berkata pasangan suami isteri itu sedang mengikuti rombongan seramai 36 orang menaiki bas dari Terengganu kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi dan tiba di masjid itu pada pukul 5.30 pagi untuk menunaikan solat subuh.

"Rombongan itu difahamkan singgah untuk bersarapan pagi di kedai makan di seberang jalan masjid berkenaan sebelum meneruskan perjalanan untuk membeli-belah di Rantau Panjang," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga pemandu kenderaan yang melanggar wanita itu tidak dapat dikesan apabila bertindak melarikan diri.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain