suria

Cubaan Rasuah Polis Semasa Serbuan Premis Jual Telefon Bimbit Tiruan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan apabila cuba memberi suapan RM1,500 kepada anggota polis yang membuat serbuan membanteras penjualan telefon bimbit tiruan di 15 premis di kompleks membeli-belah sekitar ibu kota, Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata lelaki terbabit yang menghampiri polis dan memperkenalkan dirinya sebagai penyelia premis telah meletakkan satu sampul surat berwarna putih berisi wang di hadapan anggota polis berkenaan.

"Polis meminta lelaki itu supaya beredar namun tidak diendahkan malah cuba memberi suapan, menyebabkan polis menahan lelaki terbabit dan merampas sampul berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan mengikut seksyen 17B Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan.

"Lelaki itu diserah kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mengenai operasi serbuan premis telefon bimbit itu, Mohmad berkata operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu dibuat setelah polis menerima 150 laporan aduan penipuan penjualan telefon, termasuk 97 pengadu melibatkan pelancong asing.

"Modus operandi sindiket adalah mensasarkan pelancong dan warga asing kerana berpendapat mereka mudah dimanipulasi.

"Penjual akan menawarkan telefon bimbit asli pada harga semasa namun setelah pembelian dilakukan, mereka menukar telefon itu kepada telefon tiruan dan diberi kepada pembeli," katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Dalam operasi itu, polis menahan 120 penjual telefon bimbit berkenaan berumur 27 hingga 30 tahun dan merampas 114 telefon bimbit yang disyaki tiruan.

"Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk diambil keterangan dan dibebaskan selepas itu," katanya.

Mohmad berkata kesemua rampasan diserahkan kepada KPDNKK untuk tindakan lanjut di bawah seksyen 8(B) Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain