suria

Semak Gaji Kakitangan Awam Setiap Lima Tahun - Nurul Izzah

PETALING JAYA: Kerajaan disaran melakukan semakan gaji kakitangan awam setiap lima tahun bagi memastikan kenaikannya selaras dengan kadar inflasi semasa.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, penyelarasan semakan secara berkala itu juga bagi memastikan sistem berkenaan dapat dilaksanakan dengan adil di semua peringkat jawatan dan gred.

"Kami menyarankan agar semakan gaji dimandatkan supaya dibuat setiap lima tahun agar satu kenaikan yang selaras dengan inflasi semasa akan dapat dilaksana dengan lebih mudah dan adil," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Selain itu, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menggesa kerajaan mengkaji secara serius tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500.

Jelas beliau, PKR terbuka dengan tuntutan terbaru itu agar kerajaan memberi kenaikan gaji untuk kakitangan perkhidmatan awam gred 1 hingga gred 54 menerusi skim yang sedia ada sebelum melaksanakan sebarang pembaharuan menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

"Menerusi belanjawan alternatif Pakatan Rakyat 2012, kami memberi komitmen bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk kerajaan pusat, gaji minimum pada kadar RM1,100 akan dikuatkuasakan untuk kakitangan awam.

"Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 kakitangan awam yang masih menerima gaji di bawah kadar tersebut di bawah skim saraan sedia ada.

"Pakatan Rakyat juga komited untuk menyelaraskan tangga gaji perkhidmatan awam secara lebih saksama berikutan pengenalan gaji minima tersebut, selain insentif khas RM500 sebulan bagi setiap guru sebagaimana dijanjikan di dalam Buku Jingga," katanya.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman dilaporkan berkata, tuntutan kenaikan itu perlu dilaksanakan menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan gaji dibuat melalui skim SBPA.

Menurut Omar, tuntutan tersebut membabitkan kenaikan gaji untuk gred 1 hingga gred 16 sebanyak RM700; gred 17 hingga gred 26 (RM1,000); gred 27 hingga gred 40 (RM1,500); gred 21 hingga gred gred 48 (RM1,800) dan gred 52 hingga gred 54 (RM2,500).

Katanya lagi, kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum atau sudah mati gaji pula perlu dibayar selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan dan perlu dinaikkan gred.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain