suria

MAHB Panggil Tender Kedua Premis Komersial KLIA2

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mengadakan taklimat kedua tender bagi 39 lot KLIA2 membabitkan kategori runcit, makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan, masing-masing pada 29 Feb dan 6 Mac, di Hotel Pan Pacific KLIA.

Dokumen tender boleh dibeli dari 29 Feb hingga 27 Mac manakala tarikh akhir penyerahan dokumen untuk lot terbabit ialah 3.00 petang, pada 3 April.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersil MAHB Faizah Khairuddin berkata pemegang konsesi bagi 225 lot di KLIA2 akan diumumkan pada Julai tahun ini.

"Semuanya perlu disiapkan untuk operasi menjelang April 2013," katanya kepada pemberita selepas taklimat di sini, Rabu.

Beliau berkata taklimat tender itu akan dijalankan menerusi tiga fasa, termasuk fasa pertama yang melibatkan 27 premis.

KLIA2 mempunyai ruang runcit seluas 35,200 meter persegi untuk ditawarkan.

Faizah berkata keluasan komersil di KLIA2 adalah lebih besar berbanding di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ruang komersil di klia2 dikatakan lebih luas berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Di KLIA, kapasiti komersilnya adalah lima peratus daripada saiz keseluruhan terminal seluas 500,000 meter persegi.

Faizah berkata dengan mengunjurkan bilangan penumpang yang lebih ramai serta lebih banyak penawaran di klia2, kedua-dua faktor ini akan menjadi pemacu utama perbelanjaan lebih tinggi bagi setiap penumpang.

"Kami menjangkakan RM40 setiap seorang di KLIA2 berbanding RM22 di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT)," katanya.

MAHB juga menjangkakan jualan tahunan RM1.6 bilion dalam tempoh lima tahun, berdasarkan 30 juta penumpang yang dijangka menggunakan klia2.

Daripada 225 premis yang ditawarkan itu, 118 diperuntukkan untuk sektor peruncitan, 81 untuk F&B dan 26 premis untuk perkhidmatan.

Maklumat lanjut mengenai taklimat tender KLIA2 boleh didapati di www.klia2retail.com.my. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain