suria

Bangsal Judi Diserbu

SHAH ALAM: Polis berjaya membanteras kegiatan perjudian 'Pasar Malam' setelah menyerbu sebuah bangsal tepi sungai di Jalan Bagan, pekan Tanjong Karang, yang dijadikan sarang perjudian membabitkan nilai pertaruhan antara RM100,00 dan RM500,000 sehari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang semalam, polis turut menahan 10 lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun yang leka bermain judi di bangsal berkenaan.

Beliau berkata polis merampas 440 cip pelbagai warna, 200 keping kad, 30 biji dadu, beberapa kad angka dan wang tunai sebanyak RM23,870.

"Siasatan mendapati kesemua mereka merupakan pelanggan tetap bangsal judi itu dan kebanyakan mereka terdiri daripada penduduk tempatan yang bekerja sebagai petani dan peladang," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, Rabu.

Mohd Adnan berkata kesemua lelaki berusia antara 15 dan 53 tahun terbabit masih ditahan dan polis sedang mendapatkan perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Mohd Adnan berkata polis sedang mengesan empat lelaki dikenali sebagai M.Baksaran, 26; M.Mahendran, 31; G.James, 31; dan M.Thiagu, 21, berhubung kes bunuh dan tetak seorang pengawal keselamatan di tapak projek substesen Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Seksyen 18 di sini pada 1 Februari lepas.

Katanya mereka yang mempunyai maklumat berhubung kesemua lelaki itu diminta menghubungi ASP Effandy Muin di talian 013-3414887. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain