suria

Perhimpunan 901: Azmin Dipanggil Beri Keterangan Esok

PETALING JAYA: Timbalan Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali akan dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis, pada Rabu berhubung Perhimpunan 901.

Naib Presiden PKR, N.Surendran berkata, penyiasatan terhadap Azmin itu dilihat berat sebelah dan membuktikan Akta Perhimpunan Aman hanya menyekat hak rakyat untuk berhimpun.

Beliau turut menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menghentikan siasatan ini serta-merta.

“Polis sepatutnya membanteras jenayah sebenar dan bukannya dibazirkan bagi menekan musuh politik.

“Penyiasatan ini bermotifkan politik dan dibuat dengan niat tertentu bagi mengganggu serta menakut-nakutkan kepimpinan PKR,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Pada Isnin, beberapa pimpinan PKR dipanggil untuk membantu siasatan termasuk Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar Mat Akim berhubung perhimpunan yang diadakan pada 9 Januari lalu itu.

Jelasnya, tindakan polis dilihat seolah-olah memberi amaran kepada rakyat supaya tidak menggunakan hak mereka untuk berhimpun dan bersuara seperti termaktub di dalam Perlembagaan.

“Harus diingat polis sendiri yang bersetuju agar perhimpunan 901 diadakan di hadapan bangunan Mahkamah Jalan Duta. Justeru mengapa diadakan siasatan ini?

“Perhimpunan tersebut telah berlangsung secara aman dan sah mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain