suria

NFC: PAS Minta PAC Dedah Minit Mesyuarat

KUALA LUMPUR: PAS pada Isnin meminta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan kepada Ahli Parlimen minit mesyuarat berhubung projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) sebelum sesi Parlimen bermula Mac depan.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata pendedahan dokumen tersebut perlu segera dibuat kerana ia dapat membuktikan sama ada wujudnya penyelewengan peruntukan sebanyak RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada Perbadanan Fidlot Nasional atau NFCorp iaitu syarikat yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek ini.

“Saya minta Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid supaya ada keberanian untuk memberikan dokumen tersebut kepada semua Ahli Parlimen supaya ia menjadi dokumen umum yang boleh diakses oleh semua pihak.

“Ini kerana dalam minit mesyuarat tersebut mengandungi pengakuan yang telah dibuat oleh pegawai-pegawai kementerian yang telah dipanggil untuk memberikan keterangan dalam prosiding yang telah dijalankan oleh PAC pada 23 November tahun lalu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Isnin.

PAC telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kerajaan dan NFCorp November lalu.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata terdapat empat jawatankuasa telah dipertanggungjawabkan bagi memantau projek PFN tersebut bagaimanapun mereka gagal memastikan kejayaan projek berkenaan.

Empat jawatankuasa tersebut melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertannian, Industri dan Asas Tani, Unit Perancangan Ekonomi serta Kerajaan Negeri Sembilan.

“Jika jawatankuasa ini telah melakukan kerja mereka dan menyelia dengan baik, bagaimana pinjaman dibelanjakan apabila ia diberikan secara berperingkat-peringkat. Mereka sepatutnya menghentikan pinjaman, namun mereka tidak berbuat demikian,” katanya lagi.

Isu mengenai projek pusat ternakan lembu itu mula menjadi perhatian ramai apabila Laporan Ketua Audit Negara tahun lalu mendapati PFN gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Selepas itu, beberapa siri pendedahan yang dibuat oleh pembangkang mendapati, NFCorp yang dipertanggungjawabkan mengendali projek berkenaan telah didapati membeli beberapa unit kondominium mewah di Bangsar dan juga Singapura dikatakan menggunakan wang daripada dana kerajaan.

Malah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial(JSJK) Bukit Aman sudah memulakan siasatan termasuk menyiasat sama ada wujudnya elemen pecah amanah atau penipuan berhubung pembelian kondominium mewah bernilai RM9.8 juta yang dikatakan menggunakan wang dana dari projek PFN itu.

Kes pembelian kondominium itu turut dirujuk oleh polis kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain