suria

Kerajaan Sentiasa Sokong Program Institusi Keagamaan Untuk Erat Komuniti Setempat

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa membantu serta menyokong mana-mana institusi keagamaan yang menjalankan program yang dapat mengeratkan komuniti setempat, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

"Kita galakkan mereka (institusi keagamaan) untuk teruskan program yang mempunyai ciri-ciri 1Malaysia dan mengeratkan perpaduan kaum bersesuaian dengan negara kita yang berbilang kaum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pesta Makanan, Minuman dan Permainan 2012 anjuran Gereja St Joseph Sentul, di sini, Sabtu.

Pesta tersebut bertujuan mencari dana untuk membina kemudahan mengurus mayat serta membaiki bumbung gereja itu yang bocor.

Mengulas mengenai program anjuran gereja itu, D'Cruz berkata program komuniti tersebut perlu diteruskan pada masa hadapan.

"Satu keunikan gereja ialah mereka akan melaksanakan program sendiri untuk mengumpul dana, ini satu program yang perlu dipuji," katanya.

Menurutnya lagi walaupun pihak gereja menjalankan program untuk mengumpul dana, namun kerajaan juga turut menyalurkan bantuan kewangan.

Terdahulu pada ucapan perasmian D'Cruz mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM20,000 untuk dana gereja berkenaan.

Sementara itu, ahli jawatankuasa penganjur, Alex Rayer berkata wang yang diperlukan untuk membina kemudahan mengurus mayat serta membaiki bumbung gereja itu adalah RM120,000 dan setakat ini berjaya memperolehi RM75,000 hasil sumbangan orang ramai serta jualan tiket untuk majlis tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain