suria

Hayati Semangat Pahlawan Sejati - Najib

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pengamal seni mepertahankan diri menghayati sifat pahlawan sejati yang menjadi obor kedaulatan negara.

Beliau berkata sebagai pahlawan, mereka perlu bersiap siaga menjadi benteng ketiga bagi mempertahankan negara sekiranya terdapat anasir-anasir jahat yang cuba memusnahkan kedaulatan dan perpaduan negara.

"Generasi hari ini yang mewarisi semangat pendekar haruslah sentiasa berpandangan jauh dan berjiwa besar seperti yang telah diwariskan oleh generasi terdahulu. Sekiranya kita juga berjiwa besar kita akan berupaya untuk membangunkan negara ini hingga mencapai kejayaan," katanya.

Najib, yang juga menyandang selendang Ulul Amri III, berkata demikian semasa berucap melancarkan Malam Pendekar 1Malaysia anjuran Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) di sini, Selasa.

Turut diadakan penyampaian sijil dan penganugerahan tokoh seni mempertahankan diri.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penyandang Selendang Tun Fatimah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Mahaguru PSSLM Tan Sri Omardin Mauju.

Najib berkata kumpulan seni mempertahankan diri yang ditubuhkan pelbagai kaum bukanlah bertujuan bertembung antara satu sama lain sebaliknya perlu terus bersatu dan berpadu di bawah satu prinsip bagi pembentukan mahligai 1Malaysia.

"Marilah kita kekalkan semangat ini, iaitu mengekalkan cinta yang paling tulus untuk negara, kependekaran yang sebenarnya bermula daripada keperibadian yang kukuh dan kesetiaan yang menjadi prinsip pegangan kita," katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab mempertahankan perpaduan dan kedaulatan negara yang merupakan amanah terbesar yang perlu dipertahankan.

"Inilah perjuangan kita, perjuangan besar yang ada di hadapan kita, jambatan yang telah terbina ini bukanlah sebarang jambatan yang kukuh seperti jambatan Pulau Pinang yang boleh jadikan titi hubungan yang boleh semarakkan semangat.

"Jambatan yang dibina ini akan saya bawa merentasi fajar menyinsing pada 2020 nanti yang matlamat utamanya adalah Malaysia sebagai negara maju dan disegani," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

3 Lemas Di Pantai Kota Tinggi

Artikel Lain