suria

Ajar Mata Pelajaran Keamanan Di Sekolah Seluruh Dunia:Bekas Naib Presiden ICJ

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran berkaitan keamanan perlu dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah di seluruh dunia sebagai langkah untuk mempupuk sikap sederhana, kata bekas naib presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Christopher G.Weeramantry pada Khamis.

Beliau berkata pengajian berkaitan keamanan akan menjadi intipati penting dalam budaya, agama dan adat resam untuk diamalkan oleh seluruh penduduk dunia, dan ini perlu dimulakan di peringkat pendidikan awal.

"Sekali lagi, persefahaman merentasi budaya merupakan sesuatu yang sangat penting. Kanak-kanak perlu mengenali semua agama dan ajaran asas agama lain," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Penyelesaian Konflik: Keperluan Mempunyai Paradigma Baru Antarabangsa' pada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (ICGMM) di sini, Khamis.

Beliau berkata kerjasama pihak lain, termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu juga diperlukan dalam mencapai matlamat itu.

Weeramantry berkata beliau berpendapat undang-undang asas antarabangsa perlu diterima secara universal dan kempen khas perlu diadakan agar ia lebih difahami masyarakat di seluruh dunia, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura Prof S Jayakumar berkata usaha kemasyarakatan secara menyeluruh perlu dibuat dalam suasana dunia hari ini yang menyaksikan kemajuan teknologi mengubah cara sesuatu idea disebarkan serta mengubah cara manusia berinteraksi antara satu dengan lain.

Katanya usaha kemasyarakatan ini perlukan pembabitan semua sektor utama terdiri kerajaan, semua lapisan masyarakat serta pemimpinnya selain individu, pertubuhan bukan kerajaan serta media.

"Teknologi, dengan segala kemudahan yang dibawanya, turut memberi ruang kepada penyebaran pendapat yang bersifat melampau, sambil bersembunyi di sebalik tabir ketanpanamaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain