suria

Sebutan Semula Kes Pembunuhan Gadis Di Sijangkang 8 Februari Ini

BANTING: Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Isnin menetapkan 8 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang penganggur yang dituduh membunuh seorang gadis pada 2004 dan melarikan diri dari Balai Polis Tanjung Sepat selepas ditahan berhubung kematian remaja itu.

Majistret Hafizullah Omar menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya K.Saravanan kerana masih ada lagi beberapa dokumen penting belum diperolehi pihaknya.

Kher Tian Hock, 38, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi pertuduhan membunuh See Sheau Fang, 18, di kawasan sebuah rumah di Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang dekat sini antara 9.30 pagi dan 5.30 petang, 28 Feb 2004.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya bagi pertuduhan melarikan diri daripada tahanan di Balai Polis Tanjung Sepat antara 6.30 pagi dan 7.30 pagi 13 Mac 2004 setelah ditahan untuk disiasat berhubung kes bunuh itu.

Kher hadir di mahkamah pada Isnin dan tidak diwakili peguam bela. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain